Friday 29 July 2011

Selangkah ke Ramadhan

Perasaan teruja, gembira, syahdu, suka duka bercampu baur bila mendengarkan nasyid harapan ramadhan yg sungguh indah ini. Selangkah demi selangkah, masa yang pantas berlalu, hingga tak terasa akhirnya kita hampir memasuki ramadhan pada tahun 2011 bersamaan 1432 hijrah.

Sudahkah kita mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan yang mulia ini?atau kita sudah sibuk fikirkan hari raya saja?atau juadah-juadah berbuke? Sebagai hamba yang lemah di sisinya, kita memang tidak dpt lari dari keinginan nafsu ke atas perkara-perkara tersebut. Ianya tidak salah, tetapi biarlah ianya berkadaran sahaja.

Ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah yang terpokok. Yang menjadi perkara asas untuk membina peribadi Muslim. Bulan Ramadhan bulan mencari pahala berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Namun, nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela, nafsu adalah musuh paling hebat dan mampu bangkit semula walau sudah kita tumbangkan.


Sahabat-sahabat dirahmati Allah,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam. 

Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan ALLAH dan sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah; "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga."

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Sahabat-sahabat dikasihi Allah,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu." 

Sempena dengan bulan Ramadhan yg hampir tiba beberapa hari saja lagi. Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri untuk mendidik nafsu dan memperbanyakkan amalan di bulan yang mulia ini.InsyaAllah.

~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~
dari kami warga kelab KRU KTC (^_^)

No comments:

Post a Comment